Bengkel Realiti Penulisan Bersama Hilal Asyraf

Kancil warna Jingga itu bawa saya ke Hotel De Palma yang terletak di Seksyen 19, Shah Alam. Jam menunjukkan tepat pukul 8.14 pagi. Seorang rakan baik saya ditemani rakannya sudi untuk menghantar saya ke tempat Bengkel Realiti Penulisan Novel bersama Hilal Asyraf dan beberapa penulis prolifik lain. Andai saya pergi menaiki bas awam, entah pukul berapa pula baharu saya akan sampai.

Sesampainya saya di Hotel De Palma, tidak susah untuk saya cari dewan seminar bengkel itu kerana seusai melalui perkarangan hotel itu, sudah jelas kelihatan sepasang banting menghiasi sisi pintu masuknya. Saya pun menggalas beg, membimbit beg komputer riba dan menyandang beg sandang hijau tua saya keluar dari kereta. Ucapan salam bertukar dan kami berpisah. Mereka pulang ke kampus, saya meluru terus ke bilik seminar.

Encik Nazri, Wakil Galeri Ilmu Media Grup

Saya adalah peserta ketiga terakhir yang sampai. Peserta-peserta yang lain sempat mendengar penerangan daripada Encik Nazri, Penggurus Kanan Geleri Ilmu Media Grup yang saya rasa mungkin sudah bermula beberapa minit yang lalu. Saya mendaftar di meja urusetia sebelum menuju ke meja baris akhir yang masih kosong waktu itu.

Setiap meja yang berukuran hampir 6 kaki lebar itu tersusun tiga buah kerusi di bawahnya. Saya melurutkan semua beg yang bergantungan di tubuh dan meletakkannya di bawah meja. Slot pertama bermula! Bismillah.

SLOT 1 (LDK : MERANGKA SINOPSIS NOVEL SECARA BERKUMPULAN)

Kami semua dianjurkan ke dalam kumpulan yang seramai empat orang setiap satu itu. Saya, Kamariah Osman, Puan Ramona dan juga Puan Nazrin di dalam kumpulan yang sama. Setiap seorang daripada kami dikehendaki untuk menceritakan perihal sinopsis novel masing-masing. Saya merupakan orang pertama yang becerita, selepas itu Kamariah pula menyambung. Diikuti oleh Puan Ramona namun, Puan Nazrin tidak berkesempatan kerana kekangan masa untuk slot itu. (Ampun maaf, saya rasa mungkin saya terlebih bercerita dan memakan masa orang lain pula =P)

SLOT 2 (MENGATASI 10 HALANGAN MENULIS –ABU HASSAN MORAD)

Abu Hassan Morad merupakan seorang penulis yang saya kenali sejak di bangku sekolah lagi. Membaca karyanya, ‘Julia’ sebagai salah satu daripada komponen sastera (KOMSAS) waktu di sekolah dahulu mengimbau nostalgik yang tidak tergambar. Novel inilah yang berjaya membentuk minat saya untuk menghasilkan sesuatu yang serupa atau lebih hebat daripada itu.

Cikgu Hassan menceritakan dan menghuraikan secara santai tetapi masih jelas dan terpeinci perihal halangan-halangan yang dihadapi oleh penulis, terutama penulis baharu seperti saya ini. Semua halangan itu sememangnya menjadi halangan yang akhbar. Saya yang sudah pun berkecimpung secara serius dalam dunia penulisan sejak dua tahun lalu ini pun masih berperang. Ujian betul nak istiqamah dalam menulis ni!

SLOT 3 (NIAT, DISIPLIN DAN KUASA PENULISAN – HILAL ASYRAF)

Hilal Asyraf

Hilal banyak menyentuh perihal disiplin dalam menghasilkan karya. Peri pentingnya seorang penulis untuk menulis dengan penuh disiplin. Andai penulis tidak istiqamah dalam menjitukan fokus untuk meluangkan masa menulis, pasti tidak ada karya yang terhasil. Topik niat juga diterangkan oleh Hilal dengan holistik. Beliau menbawa kami, para peserta untuk memikirkan kenapa kami ingin menulis dan apakah impaknya kepada diri dan sekaliannya.

SLOT 4 (MENAJAMKAN RASA DAN PENA DA’I – USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL)

Jujur, saya membesar disamping karya-karya Ustaz Hasrizal. Buku pertama beliau ialah buku pertama yang bukan bergenre fiktif tetapi kreatif yang saya beli beberapa tahun lalu. Seusai khatam buku ‘Aku Terima Nikahnya’ karya beliau, saya menjadi pembaca tegar blognya.

Beliau memulakan slot dengan mengarahkan agar kami semua memperkenalkan diri kami sendiri disusuli mengapa kami menulis. Semua peserta dengan lapang hati serta penuh jujur menceritakan kepada warga dewan perihal diri mereka serta minat menulis yang kembang mekar dalam diri mereka. Ada yang sudah menulis sejak di bangku sekolah, ada yang aktif mengepalai sidang redaksi sekolah mahupun universti dan bermacam-macam tekstur jalan cerita yang saya kira lebih mencabar dan unik.

Ustaz Hasrizal berkongsi juga kisah-kisah beliau dalam menghasilkan karya. Rata-rata buku motivasi dan travelog yang beliau tulis adalah daripada pengalaman yang dilalui oleh dirinya dan keluarga. Sangat menarik saya kira untuk tahu yang sememangnya setiap yang ditulis oleh beliau walau sekali pandang tampak remeh, tetapi selepas ditenungi dan dibaca dengan hati, punyai isi yang ringkas tapi berat.

SLOT 5 (INTERAKSI PENULIS DI ALAM SIBER – HILAL ASYRAF DAN USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL)

Para peserta bengkel.

Hilal dan Ustaz Hasrizal menjadi panel untuk sesi ini yang dikelolai oleh Encik Nazri. Melihat kedua-dua panel yang juga merupakan penulis yang saya kagumi sebelah-menyebelah, mengupas topik-topik berkenaan penulisan blog dan rahsia penulisan di alam maya.

Saya berkesempatan untuk bertanya kepada Ustaz Hasrizal tentang adakah dengan punyai domain ‘dot com’ akan beri impak yang berbeza kepada pembaca. Dengan tenang beliau menjawab persoalan saya serta menceritakan bagaimana beliau memulai legasi blognya dengan belajar sendiri untuk menulis kod dan melahirkan laman web dengan jemari sendiri. Epik!

Hilal juga berkesempat berkongsi bagaimana beliau memulaikan penulisan di blognya yang kini menjadi asas yang kukuh kepada penghasilan karya-karya beliau. Hilal yang mendisiplinkan diri untuk menulis sekurang-kurangnya satu cerpen seminggu sejak di bangku sekolah semestinya melatih dirinya untuk laju menulis.

SLOT 6 (PROSES BERKARYA : DARI SINOPSIS KE MANUSKRIP – UMMU HANI ABU HASSAN)

Seperti Abu Hassan Morad, saya mengenali Ummi Hani sebagai anak kepada penulis yang menulis novel Julia, novel yang saya pelajari sebagai salah satu komponen sastera. Saya tahu yang beliau juga Mantan peserta MPR (Minggu Penulis Remaja) yang sememangnya melahirkan penulis-penulis hebat seperti Nisah Haron, Faisal Tehrani, Zaid Akhtar dan ramai lagi.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka itu adalah salah satu program yang saya teringin benar hadiri, tetapi setiap tahun, progam itu pasti akan jatuh pada tarikh dan waktu bila saya menduduki peperiksaan akhir semester. Belum rezeki, tahun depan insya Allah.

Kami melakukan aktiviti menulis yang menarik. Ummu memberikan kami semua satu keping keratan majalah yang punyai gambar padanya. Semua gambar yang kami peroleh berbeza antara satu sama lain. Kami dikehendaki menulis berinspirasikan gambar tersebut. Saya dapat gambar lima kuntum gambar mawar merah jambu. Cantik. Saya pun mulai menulis. Alhamdulillah, laju sahaja. Mungkin saya benar-benar terinspirasi! Setiap peserta kemudian membacakan apa yang mereka tulis kepada warga dewan sekalian. Unik dan pelbagai gaya bahasa mampu dikenal pasti. Semuanya pandai menulis, MasyaAllah!

SLOT 7 (KARYA YANG DITERIMA EDITOR – AMIR ABD. HAMID)

Encik Amir, editor di Galeri Ilmu

Oleh sebab malam tersebut saya perlu berada di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, saya tidak akan berkesempatan untuk menghadiri slot yang bakal dikelolakan oleh editor Galeri Ilmu Media Group, Encik Amir. Saya dengan rasa rendah hati dan rendah diri mendekati Encik Amir bertanyakan sama ada bolehkan saya mendapatkan sesi ‘ringkasan’ bersama beliau. Saya seboleh-bolehnya mahu mengikuti slot ini tetapi saya juga perlu menghadiri Majlis Anugerah Festival Filem Karyaone. Filem dokumentari, ‘5 Broken Hearts’ karya saya dan seorang rakan baik berjaya tercalon sebagai finalis.

Beliau menceritakan apa yang seseorang editor mahu dalam sesebuah karya. Editor suka akan penulis yang mempunyai tatasusila serta bijak mengambil hati. Amatlah digalakkan agar penulis memulakan emel yang mengiringi proposal dengan sedikit latar belakang diri, menceritakan perihal karya-karya terdahulu sama ada pernah terbit mahupun tidak dan melampirkan sekali alamat blog. (Untuk tujuan stalk dan penyelarasan)

SLOT 8 (KARYA YANG MENARIK MINAT PEMBACA – HILAL ASYRAF)

SLOT 9 (SESI PRA – PEMBENTANGAN SINOPSIS )

Saya tidak berkesempatan untuk menghadiri kedua-dua slot ini. Rugi besarlah nampaknya. T_T

SLOT 10 (SESI PEMBENTANGAN SINOPSIS NOVEL – MODERATOR & PANEL)

Ain, salah seorang peserta sedang bentangkan idea novelnya.

Alhamdulillah, slot 10 berlangsung keesokkan harinya.

Selepas sarapan pagi, tepat jam 8. 25 saya berjalan dari ruangan makan hotel hingga ke dewan seminar. Pagi iti saya rasa tenang yang aneh. Walau semalam saya tidak berkesempatan untuk berkongsi sinopsis cerita saya bersama para editor untuk disaring dan dikomentar, saya akur dengan ketentuan. Nampaknya saya perlu yakin dan bentangkan sahaja cerita yang saya percaya, penuh.

Pengalaman yang saya ada dalam pembentangan idea-idea skrip filem pendek dalam kelas-kelas saya waktu di kampus, mempelajari ilmu penulisan dan juga filem saya cuba manfaatkan sebaiknya. Tercatit juga di papan putih beberapa frasa yang membantu peserta untuk pitch idea novel masing-masing iaitu siapa watak utama, apa konflik dalam novel dan keistimewaan novel ini.

Semangat tak? hehe

Saya merupakan perserta yang ketiga membentangkan idea sinopsis di hadapan orang-orang kuat Galeri Ilmu Media Grup. Tanpa sebarang kertas di tangan, idea yang sesungguhnya saya ingat dengan hati saya lantunkan dengan penuh yakin. Saya mulai dengan pengenalan watak, logline dan juga keistimewaan novel saya yang saya namakan ‘Skrin’.

Saya harap mereka suka!

SLOT 11 (MIND YOUR LANGUAGE –  ZAKARIA SUNGIB)

Encik Zakaria Sungib

Encik Zakaria Sungib seorang yang saya hormat dan kagum. Di dalam tenang dan santai, beliau menerangkan teknik-teknik menulis dengan menggunakan bahasa yang betul. Teringat saya kepada ayah saya kerana sungguh, figuranya amatlah persis kebapaan.

Sugguh penting untuk seseorang penulis itu memastikan bahasa yang digunakan ialah bahasa melayu standard. Hal ini bagi memudahkan pembaca untuk memahami serta secara tidak langsung mendidik pembaca dengan bahasa yang betul.

SLOT 12-13 (TEKNIK MENULIS BAB AWAL & LATIHAN – ZAYU HISYAM)

Pertama sakali, selepas sesi ini bermula, saya dapati yang suara Encik Zayu Hisyam sangat sasa dan bernada rendah persis salah seorang penyanyi dalam kumpulan Il Divo. Beliau memulakan sesi dengan menceritakan perihal dirinya. Dulu dia seseorang yang terlibat dengan perniagaan, kini dia aktif menulis buku dan sudahpun mempunyai beberapa novel.

Beliau banyak menerangkan teknik-teknik yang digunakan oleh penulis di bab awal. Hal ini kerana pentingnya untuk sesebuah novel mempunyai bab awal yang menarik ialah ia akan menjadi kunci kepada kejatuh cintaan pembaca kepada karya penulis nanti. Bab awal juga menjadi bab yang akan mengikat pembaca untuk membaca ke bab yang seterusnya hinggalah bab akhir.

Para perserta diberi masa hampir 30 minit untuk menulis bab pertama ataupun prolog untuk idea novel yang telah mereka bentangkan tadi. Semua peserta kyusuk menulis. Saya cuba untuk menulis prolog dan Alhamdulillah, dalam masa 30 minit, hampir tiga muka surat berjaya ditulis!

SLOT 14 (SESI PENILAIAN DAN PENGUMUMAN KARYA TERPILIH)

Debaran sudah sampai ke kemuncaknya. Semua peserta tertunggu-tunggu keputusan yang bakal diumumkan oleh Encik Amir, salah seorang editor di Galeri Ilmu.

Saya sudah bulatkan redha di dalam hati, andai karya saya terpilih, Alhamdulillah. Andai tidak, saya bersyukur kerana ruang dan peluang yang wujud memudahkan saya untuk lebih kenal dan lebih tahu. Lebih tahu dengan selok-belok penerbitan buku dan juga penghasilan karya.

Encik Amir berjalan ke hadapan dengan beberapa keping surat berlipat yang beliau  pegang erat di tangan. Beliau memberitahu yang beliau akan memanggil nama-nama penulis yang terpilih karyanya untuk diterbitkan.

Satu demi satu nama di panggil. Nama saya tidak kunjung tiba. Saya sudah mula gusar, yang pasti saya masih punya harap. Tidak pernah putus harap walaupun seketika. Lalu Encik Amir mengumumkan, “baiklah, penulis ini adalah penulis terakhir yang karyanya diterima. Silakan, Nur E’zzah Mahmud.”

Alhamdulillah, itu sahaja perkataan yang terpacul daripada saya dalam kuat suara tepuk rakan-rakan yang lain. Karya saya diterima ideanya untuk diterbitkan.

Ruang dan peluang ini saya akan manfaatkan untuk menzahirkan satu karya yang pasti lahirnya dari hati, pembaca akan tertaut di hati dan insyaAllah, selamanya kekal di hati.

Doakan dipermudahkan urusan untuk saya menulis dan menghasilkan karya. Moga Allah redha dan limpah barakah sekaliannya. Ameen.

Advertisements

2 thoughts on “Bengkel Realiti Penulisan Bersama Hilal Asyraf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s