‘5 Broken Hearts : A Documentary’ Sebuah Perjalanan

Ada apa dengan sebuah dokumentari?

Mungkin ramai individu di luar sana yang beranggapan bahawa sebuah dokumentari hanya layak berada di saluran-saluran televisyen yang menayangkan perihal binatang-binatang, mahupun teknologi-teknologi seperti di National Geographic dan Discovery Channel.

Pada saya genre dokumentari adalah satu genre yang luas dan menarik untuk diterokai. Satu elemen yang saya kira amat istimewa ialah dokumentari menjanjikan realiti. Sebenar-benarnya cerita. Yang datang secara natural dan tidak perlu dipaksa-paksa ataupun dibuat-buat.

Alhamdulillah, dokumentari sulung saya yang berjaya siap berjudul ‘5 Broken Hearts’. It’s my baby! Whoohoo!

Kenapa 5 Broken Hearts?

Bermula dengan sebuah dokumentari yang menggugah setiap sel yang wujud dalam tubuh saya, 5 Broken Cameras. Sebuah filem dokumentari yang dihasilkan oleh Emad Burnat yang berjaya tercalon di 85th Academy Awards. Dokumentari ini berputar sekitar Emad Burnat dan keluarga serta rakan-rakannya di Palestin. Mereka berjuang mempertahankan hak mereka dengan kapasiti kekuatan dan limitasi mereka dalam mendepani keganasan tentera-tentera Israil.

5_Broken_Cameras_Movie_Poster_Large

5 buah kamera digunakan oleh Emad selama 7 tahun untuk merakam setiap satu kezaliman yang dilakukan kepada mereka. Emad sangat komited dalam merakam semua kejadian. Andai kameranya ditembak atau dirosakkan, dia mendapatkan kamera yang seterusnya Dengan bilangan 700 jam rakaman, terhasilkan sebuah dokumentari berdurasi 94 minit yang tepu dengan kebenaran, semangat juang yang hebat dan persahabatan yang indah.

Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menonton filem ini semasa berlangsungnya 2nd Palestine Film Festival anjuran Viva Palestina Malaysia.

Jadi…

Saya terfikir, memandangkan Festival Filem Karyaone 2013 akan berlangsung hampir sebulan daripada waktu itu, dengan secubit ilmu penerbitan dan penghasilan filem dokumentari yang saya ada, mengapa tidak hasilkan satu filem dokumentari yang menceritakan kisah-kisah perjuangan merawat hati yang tergores, terluka, terbelah, tertikam dan kembali kepada PEMILIK hati-hati. (unsur hiperbola dan repitisi)

Berbekalkan sebuah kamera Sony Alpha, tripod pinjam, clipmic RM 16, dan selaut semangat, saya mula mencari watak-watak yang saya rasa ada cerita. Pertama sekali saya hubungi kakak saya, Faridah Mahmud, bertanya akan kesudiannya. Kemudian teringat saya kepada seorang rakan, Nadiah Sabry yang pernah berkongsi perihal penghijrahannya yang seterusnya memperkenalkan rakannya, Izzati Syahirah.  Aleena Isa pula merupakan seorang senior sefakulti yang rapat dengan saya. Leo Huzair, (hotstuff Puncak! Woot! Woot!) pernah menjadi penerbit dalam salah satu projek dokumentari yang kami sama-sama pernah terlibat satu masa dahulu.

Temu Ramah Pertama (Aleena Isa)

alee

Sesi temu ramah saya jadualkan. Satu hari satu temu ramah. Dimulai dengan Aleena Isa. Beliau yang tinggal tidak jauh dari kampus datang bersama Kelisa kelabunya mendapatkan saya di kampus. Kami ke rumahnya dan menikmati sarapan pagi. Selepas hampir 35 minit, kami menuju ke bilik.

Sebelum temu ramah bermula, saya mengitari ruang biliknya. Cantik, kemas dan kreatif! Saya sengaja memilih meja belajar sebagai latar kepada temu ramah kerana ruang itu sangat menceritakan perihalnya, secara visual. Alee akan duduk di kerusi belajarnya, saya pula akan membelakangkan tingkap dan cahaya matahari akan menjadi sumber cahaya natural. (ini kes bajet tak ada , baru betul-betul Indie!) Tripod dipasang, camera dipasakkan di atas tripod, clipmic dicucuk ke lubang 3.5mm audio jack butang record ditekan.

Satu dua percubaan dilakukan. Bismillah. Temu ramah pun bermula.

Selepas hampir 8 minit bersembang, kamera saya tiba-tiba tertutup sendiri. Aduh! Saya baharu sahaja mendapatkan kamera itu. Kamera itu saya beli daripada seorang rakan baik yang sudah membeli sebuah kamera yang lebih hebat! Saya sejujurnya selalu diposisi penulis skrip atau pengarah. Cameraman? Tidak pernah!

Tetapi memandangkan untuk kali ini cuma seorang saya, gagahkan aja. Saya tutup camera seketika dan kembali merekod semula beberapa minit selepas itu. Rakaman selepas itu pun hanya mampu berlangsung selama hampir 6 minit sebelum kamera itu mati, lagi sekali!

Saya biarkan kamera itu rehat seketika, dan merangka soalan-soalan wajib tanya sahaja agar masa dapat disingkatkan. Saya pun akan dapat apa yang saya mahu dan cukup. Insya Allah. Alhamdulillah, saya dapat input yang saya mahukan. Saya kemudian mula merekod keadaan sekitar bilik Alee dan juga beberapa action footage dan b-roll.

Sesampainya saya di kampus, saya terus memasang komputer riba dan memasukkan semua rakaman yang telah saya dapat tadi, ke dalam komputer saya. Semasa proses transfer berlaku, saya hubungi Amzar, rakan baik serta pemilik pertama kamera itu. Selepas menceritakan apa yang berlaku. Amzar menyatakan yang dia akan tanya Pak Google, mungkin selepas itu dia akan kembali mendapatkan saya.

Amzar menghubungi saya kembali dan memberitahu yang mungkin kamera itu overheat!

Ah, baharu teringat! Kamera saya tadi agak berada di bawah terik matahari yang kian meninggi. Saya dan kamera berada betul-betul di tepi tingkap. Mungkin. Amzar juga turut menasihati agar tidak membiarkan steadyshoot dibiar on kerana akan menyebabkan processor kamera berfungsi dan akan cepat overheat.   

Saya kemudian meneliti setiap rakaman yang kini kesemuanya sudah berada di dalam komputer.

“Aduh! Kenapa dengan sound dia ni!”

Hati saya mengalir-sungaikan air mata. Saya hampir putus asa. Tapi… Kena teruskan juga, saya dah mula, wajib selesaikan.

Temu Ramah kedua (Izzati Syahirah)

izzati

Saya menaiki bas RapidKL U605, menuju ke PKNS Shah Alam kemudian U62 ke Sunway Piramid. Kak Izzati tinggal tidak jauh dari pusat beli-belah itu. Sesampainya saya, Kak Izzati datang jemput menaiki kereta miliknya. Pertama kali bertemu, saya sangat selesa bersamanya. Kak Izzati seorang yang sangat peramah, disenangi dan cool!

Kami menuju ke sebuah gazebo di sebelah kolam renang yang ada di kondominium itu. Alhamdulillah, saya lebih bersedia kali ini. Steadyshoot saya off, kamera saya pastikan tidak terkena sinaran matahari secara terus dan mic saya pastikan dulu betul-betul. Sama ada dia akan berfungsi dengan baik atau tidak.

Bismillah, kami pun memulakan temu ramah. Kesemuanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Kamera tidak overheat, bunyi pun terang, jelas dan nyata!

Kami kemudian naik ke rumahnya dan bertemu dengan anaknya. Hajar sangat comel. ❤

Di dalam kepala saya waktu itu, saya sudah boleh pilih dan petik kata-kata yang dibicarakan oleh Kak Izzati yang saya ingin ada didalam dokumentari saya. Saya pulang dengan senyum dan tidur lena malam itu.

Temu Ramah ketiga (Leo Huzair)

leo

Leo Huzair saya ketemu secara tidak disangka-sangka. Waktu itu saya ke Kandang (tempat makan warga Puncak Perdana sekalian) untuk membeli juadah makan malam. Sewaktu saya berjalan pulang, saya ternampak Leo sedang makan bersama rakan-rakannya.

Saya berfikir seketika. Setakat ini tiada lagi watak lelaki yang saya ketemu. Saya mendekati Leo dan bertanya. Dia terus setuju untuk berkongsi cerita. Salah satu sebab juga ialah saya ingin menghasilkan dokumentari ini di dalam bahasa Inggeris kerana mungkin dokumentari ini boleh pergi jauh. Insya Allah. Tidak lupa, saya mahukan tajuk dokumentari ini yang sedia dalam bahasa Inggeris untuk sync dengan bahasa dalam dokumentari ini.

Temu ramah dengan Leo saya lakukan jam 10.30 pagi. Di hadapan blok kolej siswa, kawasan kerusi batu. Keadaan waktu itu agak teduh jadi saya sepatutnya tiada masalah dengan kamera. Mic dipasang ketika temu ramah bermula.

Semua soalan yang saya tanya Leo jawab dengan jujur. Saya merasakan yang Leo sangat ingin bercerita dan berkongsi apa yang dia rasa. Sama seperti Izzati, sewaktu menemuramah Leo, saya sudah dapat agak apa yang saya mahu ada dalam dokumentari ini.

Walau kamera ada juga termati-mati beberapa kali, tapi Alhamdulillah, majoriti isi-isi yang Leo ceritakan saya sempat rakam. Kamera saya sempat rakam.

Temu Ramah keempat (Faridah Mahmud)

frida

Malam itu saya bermalam di rumah sewa kakak saya yang terletak di Subang. Dia kini sedang menjalankan sesi praktikal di Petronas selama beberapa minggu, oleh itu dia menyewa di situ. Selalu dia hanya di kampusnya di MMU Cyberjaya.

Pagi itu usai sarapan, kami ke kawasan kolam renang. Bersebelahan dengan kolam renang itu, terdapat ruang legar yang ada kerusi dan meja tersusun. Saya pun mencari latar belakang yang sesuai. Tripod saya dirikan, kamera juga saya pasang di atasnya.

Kami memulakan perbualan. Mulanya terasa kekok juga untuk bertanya dan bersembang perihal ini kerana saya kenal benar dengan cerita kakak saya insya Allah, tapi membuang rasa pelik itu jauh-jauh, saya tanya dan dia jawab dan saya tanya dan dia jawab lagi. Temu ramah berjalan dengan lebih baik daripada apa yang saya bayangkan.

Satu perkara yang berlaku sepanjang temu ramah dengan kakak saya ialah angin yang kuat menampar-nampar pipi, mengibar-ngibar tudung. Sepoinya angin waktu itu hingga kalau siapa yang menonton dokumentari pasti perasan yang kamera saya hampir terbang, jatuh ditolak angin. Tapi Alhamdulilah, saya sempat memegang dan memeluknya! Saya juga sedikit risau adakah bunyi angin sangat jelas hingga mampu menjejaskan kualiti temu ramah. Sesudah itu, saya terus lihat rakaman-rakaman itu di dalam komputer. Baik-baik sahaja! Syukur.

Temu Ramah kelima (Nadiah Sabry)

nadya

Selepas menemuramah kakak saya, petang itu saya mengambil keputusan untuk menemuramah kak Nadiah. Kami sepakat untuk bertemu di kawasan sebelah Tasik Shah Alam. Alhamdulillah, walau dengan menaiki kenderaan awam, saya sampai tepat pada masa yang saya rancang.

Kak Nadiah tampak anggun berbaju kurung. Katanya baharu pulang daripada majlis pertunangan sahabatnya.  Saya mencari-cari tempat yang sesuai untuk kami lakukan temu ramah. Kerusi kayu di sekitar tasik semuanya penuh. Kami berjalan lagi hingga bertemu dengan sebuah tembok batu yang tingginya satu meter lebih.

Seperti biasa, saya pacakkan tripod dan juga pasangkan kamera di tempatnya. Clipmic saya pasangkan di bawah butang baju kurungnya. Kak Nadiah duduk di atas tembok itu manakala saya berdiri di sebelah kamera saya. Kami pun mula berbual.

Sesi itu berlangsung dengan jayanya. Selepas itu, kak Nadiah belanja saya 3 ketul donat Big Apple. Alhamdulillah! Indahnya… ❤

Suntingan bermula!

Oleh sebab saya sememangnya seorang penulis dan selalu guna Microsoft Word sahaja, untuk suntingan dokumentari ini, saya serahkan kepada yang lebih pakar. Jeycobs Leroy! Seorang sahabat saya merangkap senior saya di UiTM. Kami pernah bekerjasama dalam beberapa projek filem dan saya yakin dengan kebolehan dan kredibilitinya.

jey n me

Persoalan utama yang bermain dalam fikiran saya, “macam mana nak serahkan footage yang lebih 23GB ni kepada Jeycobs? Dia kini berada di Kuching, Sarawak. Saya juga waktu itu masih belum melunaskan bayaran internet saya. Kalau tidak boleh saya hantar dengan Dropbox atau apa-apa aplikasi penghantaran dokumen melalui internet yang wujud.

Saya ambil keputusan untuk hantar semua rakaman kepada Jeycobs melalui pos. Saya burn 7 keping dvd dan pos kepada Jeycobs melalui Pos Laju. Alhamdulillah, kesemua DVD itu sampai kurang 3 hari selepas penghantaran.

Sesampainya kesemua DVD itu kepada Jeycobs, dia dengan penuh semangat dan dedikasi memulakan suntingan. Saya sesungguhnya kagum dengan apa yang dilakukan. Sementara Jeycobs sedang sunting dokumentari ini, saya turut membantu dalam menyediakan sari kata untuk semua temu ramah yang dilakukan agar dapat memudahkan Jeycobs untuk memasukkannya ke dalam dokumentari kelak.

Kami sentiasa berhubung bagi memastikan jalan cerita yang saya, selaku pengarah mahu ambil. Walau waktu itu saya tidak punya internet, Alhamdulillah, BeriHitam banyak membantu! WhatsApps sahaja bila-bila.

Selepas hampir seminggu bertungkus-lumus-tak-tidur-malam-makan-tak–tepat-masa, Jeycobs akhirnya menyiapkan editing dokumentari 5 Broken Hearts. Saya kira seminggu amatlah tidak cukup untuk mengedit sebuah dokumentari tetapi Jeycobs berjaya menyiapkannya! Dokumentari kami sempat siap sehari sebelum tarikh akhir penghantaran Festival Filem Karyaone 2013.

5 Broken Hearts Poster

Jeycobs juga mereka poster untuk dokumentari ini. Cantik! Kami juga menamakan kumpulan kami yang cuma dua orang ini, *Drum Roll* Dark Lights Production! Jeycobs yang ilhamkan sebenarnya.

dlp

Malam Karyaone!

Selepas seminggu menunggu, malam anugerah pun tiba.

Saya waktu itu sebenarnya sedang mengikuti Bengkel Realiti Penulisan bersama Hilal Asyraf yang berlangsung selama 2 hari 1 malam. Malam itu saya ‘lari’ seketika untuk menghadiri majlis anugerah kerana saya salah  seorang daripada 5 finalis untuk Anugerah Dokumentari Terbaik.

Salah seorang peserta bengkel yang juga seorang bekas pelajar UiTM dengan sukacita penuh cerianya menawarkan untuk menghantar saya ke Dewan Seri Budiman selepas magrib hari itu kerana tidak mahu saya lewat sampai.

Malam Karyaone berlangsung dengan gilang-gemilangnya. Saya duduk bersebelahan rakan baik saya ‘Aisya Ezral yang juga turut menjadi finalis bagi Anugerah Filem Eksperimental terbaik. Beberapa dokumentari yang tercalon sebagai finalis ialah Keunikan Pasar Thailand karya Muhammat Noh, Jejak 5 karya Hary Bukhary dan Legalize It. Trofi kemenangan akhirnya milik Legalize It, sebuah  dokumentari tentang Graffiti.

Sebuah Pengalaman!

Sungguh, tiada apa yang saya sedihkan atau kesalkan dengan kekalahan ini. Pada saya, dengan terhasilkan sebuah dokumentari yang waktu credit roll terukir nama saya pun dah sangat indah. Menang kalah jatuh nombor paling akhir dalam senarai hidup saya. Kalau ada yang mendapat manfaat dan terkesan dengan dokumentari, itu sememangnya lebih indah.

Saya lebih kenal saya dan apa yang boleh lakukan. Sebagai yang pertama, dokumentari ini menjadi titik mula kepada filem-filem saya di masa hadapan. Banyak mutiara kata yang boleh saya kutip. Dokumentari ini juga menyedarkan saya yang saya ini manusia, bukan robot. Ada rasa, kenal sakit, jatuh-tergolek-tertampar- terlentang-tersungkur-tersepak-lepas-tu-bangun-balik, kenal rakan-rakan saya dan kenal saya.

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam pembikinan dokumentari ini. Saya tidak mampu untuk memberikan honanorium ataupun apa yang sewaktu dengannya tetapi terimalah terima kasih daun keladi pucuk paku ulam pegaga! =D Doakan saya berjaya dan kuat dalam menongkah arus menjadi lain dan seorang Ezzah Mahmud yang seorang sahaja di dunia ini.

 

❤ Ezzah Mahmud

 

Ps. Perbualan saya dengan penasihat akademik saya;

En Fikri : Kenapa kamu buat dokumentari ni?

Ezzah : Saya rasa saya nak cerita macam mana rasa patah hati ini. Sakit tau sir.

En Fikri : Kamu patah hati ke?

Ezzah : (diam 5 saat) Lebih kuranglah.

En Fikri : Owh, kalau macam tu saya rasa kamu kena patah hati selalu. Baru kamu akan hasilkan filem-filem yang mengesankan.

Ezzah : Sirrrrrrrr!!!

 

Terpecah tawa. Saya tahu dia main-main.  

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s