Negeri 5 Menara!

Image

Alhamdulillah. Seusai berbulan tidak komited menyelesaikan bacaan novel karya A.Fuadi ini, saya menguatkan tekad menelusuri setiap aksara dengan hati. Satu demi satu saya baca dengan penuh kasih dan rasa ingin tahu yang akhbar. Dalam masa 4 hari saya berjaya khatam 492 muka surat kesemuanya.

Seingat saya, novel ini saya beli sewaktu bekerja di kedai buku Popular KOMTAR, Georgetown awal tahun 2011 selepas tamat SPM. Buku yang punyai reka letak yang menarik dengan gaya liuk-lentok huruf judulnya yang unik membuatkan saya terpanggil untuk mencapainya di rak buku novel-novel melayu ketika mengitari rak-rak buku tersebut sewaktu masa rehat tiba.

Novel terbitan PTS Litera Utama ini telahpun dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu. Bahasa asalnya iaitu bahasa Indonesia yang tidak banyak beza malah masih terasa segar dalam bait-bait ayat di dalam novel ini. Selepas sekali pandang, setaman bunga di hati mekar kerana wujud komentar beberapa orang yang saya kagumi terlampir jelas di muka hadapan dan belakang kulit novel ini iaitu Pengacara TV, Ahmad Fedtri Yahya, Penulis kesayangan saya Nisah Haron dan juga Mantan Perdana Menteri Indonesia, B.J.Habiebie.

Negeri 5 Menara berkisah mengenai Alif Fikri yang menuntut di Pondok Madani dengan separuh hati. Dalam keterpaksaan Alif yang berasal dari Danau Maninjau, Sumatera Barat merantau ke Ponogoro yang terletak di Jawa Timur untuk menyambung pelajaran menengahnya di sebuah sekolah pondok. Dia yang sepatutnya mahu belajar di peringkat menegah di sekolah SMA, Sekolah Menengah Atas akur dengan pilihan ibunya yang mahukan dia belajar di pondok.

Hampir keseluruhan novel berkisah perihal Alif dan rakan-rakan, Sahibul Menara mendepani cabaran dan disiplin ketat di pondok. Sahibul Menara adalah gelaran untuk Alif dan rakan-rakannya. Mereka sering beristirahat di kawasan taman di tepi menara masjid tempat mereka menunaikan solat berjemaah dan bersosial. Sangat menarik saya kira kerana A. Fuadi berjaya membuatkan saya jatuh cinta dengan barisan watak serta tenggelam lemas setiap perkataan yang tersusun serta jalan cerita yang menarik! MasyaAllah.

Setiap penceritaan yang berlaku berdasarkan sudut pandang orang pertama, watak Alif Fikri mengenai fasa pelajarannya di Pondok Madani yang diceritakan dalam konteks imbas kembali. Hal ini kerana Alif Fikri sedang berada di Washington D.C bertugas sebagai wartawan yang waktu itu ingin menuju ke London untuk menghadiri konferensi serta bertemu dengan rakan-rakan Sahibul Menara.

Secara keseluruhan, penceritaan di dalam novel ini amat mengesankan saya kerana terdapat banyak babak yang hampir serupa atau sama dengan keadaan saya sewaktu di MRSM dahulu. Tidur lewat malam kerana mahu belajar, akan beratur sambil mengampu tray makanan warna perak punyai lekukan tempat meletakkan lauk, isu disiplin dan pengawas tegar yang menghantui serta kekeringan wang kocek yang tidak pernah cukup. SubhanAllah, terimbau kembali segala pahit masih dan indah riang hidup di MRSM! Yang lebih indah di dalam novel ini, Pondok Madani merupakan institusi pendidikan yang perpaksikan Allah tapi masih sejajar dengan pembanggunan intelektual. Digambarkan bagaimana setiap pelajar dibentuk untuk mengabdikan diri kepada Allah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Cara penulisan yang bersahaja dan terperinci membuat saya cemburu! Bukan cemburu buta tetapi cemburu dengan ilmu yang penulis ada serta bagaimana bersimpang-siur penceritaan disusun bagi menghidangkan juadah enak pengenyang minda dan nurani! Di pondok ini juga, A.Fuadi menceritaan bagaimana semua pelajar diharamkan berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka iaitu Indonesia tetapi cuma dibenarkan bertutur dalam bahasa Inggeris mahupun Arab. Titik!

Unsur mahkamah yang diwujudkan untuk menghukum dan mendidik pelajar yang melakukan kesalahan juga saling tidak tumpah seperti di MRSM. Lainnya di MRSM, pesalah-pesalah rata-ratanya melakukan kesalahan merokok, gaduh dan segala yang seiring denganya. Di pondok ini, kesalahan yang sering dinyatakan adalah memotong baris sewaktu beratur, bertutur dalam bahasa Indonesia, lewat ke masjid dan beberapa lagi. Sungguh, mulanya tampak remeh tetapi peraturan dan hukuman jelas mendidik pelajar di Pondok Madani untuk sering beringat dan berdisiplin. Ditegaskan juga oleh setiap yang menerima dan pemberi hukuman untuk ikhlas menerima dan menjalankan hukuman. MasyaAllah! Inilah tarbiah!

Man jadda wajada adalah sebaris syair arab persis mantera yang sentiasa dilaungkan dalam setiap satu bab. Terasa seperti penulis yang jelas menulis cerita yang terinspirasi daripada kisah nyata, lebih tepat lagi, kisah nyata hidupnya yang terkesan penuh dengan kalimat ini. ‘Barang siapa yang bersungguh-sungguh, pasti akan mendapat hasil’ merupakan erti sebaris syair arab yang berjaya memotivasi dan menggerakkan setiap satu watak yang ada di dalam novel ini untuk sentiasa berusaha sehabis baik dan tidak langsung pernah berputus asa.

Saya sangat menganjurkan peminat dan pembaca novel di luar sana yang ingin membaca sesuatu yang beza dan indah untuk menelusuri dan menghadam novel ini! Tepu dengan pengajaran yang halus mencucuk dan mengurut-urut jiwa serta nilai kesungguhan yang menggunung tinggi pada setiap helaian yang tersurat. Novel trilogi yang judul seterusnya, Ranah 3 Warna dan Rantau 1 Muara ini wajib dibaca, diterokai dan dikembarai. Moga bermanfaat!

Ayuh berdiskusi setelah anda siap membacanya ya!

Baraakallahu feekum! ❤

Advertisements

One thought on “Negeri 5 Menara!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s