Pemurah VS. Tak kisah?

Assalammu’alaikum, Hi!

Apa khabar semua? Sihat? Jasad? Hati? Baik-baik sahaja hendaknya.

InsyaAllah, post kali ini untuk kita renung dan introspek diri seketika.

Pagi tadi, saya berkesempatan untuk keluar beristirahat di luar kampus, menghirup udara segar sambil menikmati hari sabtu saya sendirian. Mungkin kerana terlalu dibayangi oleh tugasan-tugasan yang perlu disiapkan, kotak fikir ini jadi tepu dan padat hinggu perlu ruang dan peluang untuk dimuntahkan keluar tekanan itu.

Saya pun menaiki bas U605, bergerak keluar daripada UiTM Puncak Perdana dan sampai ke PKNS 30 minit selepas itu. Menuju ke Bangsar menaiki U80 seterusnya LRT ke KL Sentral. Selepas itu, KTM laluan Seremban saya ambil untuk ke Serdang. Mulanya saya cadang ingin ke Big Bad Wolf Book Fest (BBW), tetapi terbantut dek kerana logika saya waktu itu, duit ini mungkin bisa saya gunakan untuk perbelanjaan makan atau transportasi saya. Menjelajah Mines sahaja barangkali.

Sesampainya saya di KTM Serdang, berpusu-pusu orang keluar! Ternyata, ramai rupanya yang berniat untuk menghadiri BBW hari ini. Meluakkan voucher buku mungkin, RM 250 tu! Saya pun berjalan, seorang seperti selalu, saya biarkan sahaja penumpang-penumpang KTM yang sungguh bersemangat dan beretika itu melepasi saya. Tidak ada apa yang mengejar atau saya kejar pun, masa seperti cukup sahaja insyaAllah.

Segerombolan manusia melepasi saya, saya biarkan sahaja, beberapa tika, pasti barisan Touch n Go lengang juga. Saya kemudian mengimbas kad Touch n Go saya lantas berlalu. Selangkah demi langkah saya nikmati dengan mengitari mata saya 180 darjah. Sungguh, ramainya manusia. Pelbagai warna kulit dan reaksi. Ada yang bercanda bersama rakan, ada yang senyum seorang, ada yang masam mencuka, ada juga yang kelihatan tenang, subhanAllah sungguh tenang hingga saya terjemput sekali untuk lebih tenang hanya dengan melihat wajahnya.

Saya lalui jejantas untuk menyeberang jalan dan seusai melalui satu per tiga jejantas, saya bersua dengan seorang mak cik yang sedang duduk bersimpuh di satu sudut jejantas itu. Beliau berkurung ungu, bertudung hitam, tidak berselipar, berpayung kelabu, dan tertunduk. Di hadapannya terdapat sebuah cawan kertas dan disisinya terletak beg pastik warna merah jambu yang tidak saya pasti apa yang dibalutnya. Saya yang waktu itu berhenti melangkah dan berfikir seketika. Di mana anak beliau? Mungkin janda tanpa anak? Dimana agaknya beliau tidur? Sudah makan atau angin sahaja yang mengisi perut? Reaksi saya, memandangkan saya tidak punyai niat yang jitu pun untuk ke BBW, boleh sahaja andai saya ingin bersembang dan menyapa beliau seketika.

rezeki

“Assalammu’alaikum Mak Cik, sihat?” Ungkap saya ringkas.

“Sihat-sihat” jawabnya mudah sambil menghadiahkan segaris senyum ikhlas. Gigi hadapannya tidak cukup. Faktor usia mungkin.

“Mak cik dah makan?” Soalan klise tapi sengaja diaju. Cuma ingin tahu perihal dirinya waktu itu.

“Sudah-sudah, sudah makan adik. Lagipun doktor kata makan tak payah banyak-banyak, sedikit pun cukup” jawabnya teliti.

“Oh… Mak cik seorang sahaja? Anak-anak mak cik?” soal saya melebarkan bicara.

“Ada, satu sama kebajikan (mungkin apa yang beliau maksudkan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat), dia tak ada sihat, satu lagi ada rumah.” jawabnya jujur.

Tambahnya lagi, “dulu mak cik kerja, tapi sekarang sudah tak sihat, kaki sakit, apa boleh buat”.

Sebak seketika, terbayang raut mak saya di Penang. Aduh, sayu. Saya waktu itu punyai sebiji kuih yang saya beli sebelum menaiki bas U80, karipap ubi sahaja. Saya keluarkan daripada beg sandang saya dan saya berikan kepada mak cik itu. Wajahnya yang berkulit hitam manis itu tampak bersinar dan sungguh-sungguh bahagia menerima sumbangan ringkas saya, Kemudian, saya berikan juga sejumlah wang untuknya, mungkin boleh jadikan tambang pulang ke rumah insyaAllah. Saya pun bukannya punyai duit yang banyak waktu itu, cukup untuk hidup. Alhamdulillah.

Apa yang saya ingin sampaikan untuk peringatan diri saya dan juga para pembaca sekalian, betapa kita kurang memberi. Sungguh, saya terkadang berasa agak terkilan dengan diri saya jika melintasi insan-insan ini dan tidak berhenti atau menyapa mereka. Mungkin waktu itu saya dihambat waktu atau saya memang tidak ingin pun berhenti & berbuat apa-apa. Tapi, hari ini baharu saja sedar dan memikirkan hal ini dengan lebih dalam dan lama buat seketika. Betapa saya kurang berkongsi rezeki dan kasih yang Allah kurniakan dan tumpahkan kepada saya dengan mereka yang lebih memerlukannya.

Bayangkan, senyum yang mak cik tadi hadiahkan bawa tenang yang asing kepada diri saya. Kasih sayang bagai berpancar gagah antara kami, padahal tidak pernah saya kenali beliau, mahupun bersua dengan beliau. SubhanAllah, Ajaib! Betapa luasnya rahmah Allah sehingga sekecil-kecil penghargaan yang mak cik itu berikan kepada saya, senyum segaris tanpa kata buat saya senyum sampai sekarang! Saya tak pasti perihal orang lain yang melalui jejantas itu tidak kira berhenti menyapa atau menghadiah segaris senyum kepada mak cik itu rasa apa yang saya rasa. Saya harap mereka rasa kerana tidak dapat saya gambarkan rasa itu.

Saya cuba untuk meletakkan diri saya di dalam situasi mak cik itu, mungkin beliau sudah tidak makan beberapa hari, sekurang-kurangnya saya masih ada Maggi dan Milo saat kocek betul-betul berhabuk, mungkin beliau sudah kehabisan ubat gigi dan sabun mandi di bilik air yang  entah sempurna entah tidak, sekurang-kurangnya saya masih ada rakan serumah yang bisa saya kongsi dan guna barangan mereka sementara saya ingin mendapatkan yang baru, mungkin, mungkin, mungkin itu, mungkin ini dan berjuta lagi kebarangkalian yang berlumba-lumba di dalam minda saya.

Bagaimana jika di akhirat kelak, saya ditanya perihal, apa yang telah saya lakukan untuk membantu saudara seIslam saya yang betul-betul memerlukan bantuan pada tanggal 2 Mac 2013, di atas jejantas sekian-sekian. Adakah boleh diguna pakai jawapan, saya waktu itu ingin beli buku dan makan di kedai yang agak mahal sebagai ganjaran beberapa hari bertungkus lumus menyiapkan tugasan. Boleh?

Dalam kesempatan ini, inginlah saya dengan rendah hatinya mengajak para pembaca sekalian untuk tidak segan menghulurkan bantuan atau apa sahaja yang kita ada yang boleh menceriakan hari insan-insan yang memerlukan bantuan. Rancangan saya ialah, andai saya punyai wang lebih, akan saya beli sepeket Snikers Jombo Pack yang dalamnya punyai 10+ peket-peket kecil Snikers dan bawa bersama saya sewaktu saya keluar beristirahat atau berlibur. InsyaAllah, ada sahaja orang-orang yang bakal kita temui layak menerima pemberian kecil itu. Mungkin kecil bagi kita tapi besar akhbar buat mereka.

Sebagai penutup, tidak dapat dinafi, mungkin wujud di luar sana sindiket peminta sedekah atau orang yang memanipulasi insan yang serba kekurangan ini, tetapi mereka juga manusia, kongsikanlah kasih sayang dan rezeki kita sementara masih punyai masa. Mana tahu, perbuatan kecil kita itu mampu merubah destini mereka, memotivasi mereka untuk ada harapan. Kalaulah keberatan untuk memberi sejumlah wang, makanan adalah tukarang yang terbaik.

Ayuh! Sebarkan kasih sayang dan kongsi rezeki kita. Bukankah nikmatNya untuk kita nikmati bersama. Jannah nanti, puas-puaslah bersuka-ria insyaAllah.

❤ Baraakallahu feekum.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s