Kehadapan (Cerpen Suka-Suka)

Cerpen suka-suka yang sempat ditulis dalam selit senggang masa yang kurang. Tak ada kena-mengana antara hidup dan mati. Inspirasi semata-mata! Selamat membaca! Sila-silalah komen insyaAllah <3

KEHADAPAN

Kehadapan bakal suamiku yang masih belum ku temui.

Apa khabar anda di sana? Moga Allah sentiasa memelihara dan memayungi anda. Hari ini hari lahir saya  yang ke-19. Alhamdulillah, Allah izin saya bernafas lagi. Saya masih di kampus. Belakangan ini tugasan-tugasan makin menimbun. Saya sedang menyiapkan sebuah cerpen yang saya ingin hadiahkan kepada anda. Sudah menjadi lumrah hidup saya sebagai seorang pelajar diploma penulisan kreatif ini untuk sentiasa menulis karya-karya kreatif. Tetapi saya ingin dedikasikan cerpen ini untuk anda. Agar bila anda baca kelak, anda akan terkesan dan menghagainya.

Untuk pengetahuan anda, saya sudah mula mengimpikan perkahwinan di awal usia sejak saya berumur 16 tahun. Waktu itu saya baharu mula berhijab dan mula mengenali lelaki. Saya bersekolah di sekolah yang semuanya pelajar perempuan sejak daripada Darjah 1 hinggalah Tingkatan 3. Sewaktu saya benginjak ke sekolah berasrama penuh,pada tika itulah saya mula mengenali lelaki. Saya jadi kekok sebulan. Susah benar rasanya ingin berkomunikasi dengan kaum anda. Menatap mata sahaja sudah saya rasa bersalah, inikan berbicara dan berbual, Ah! Jauh sekali.

Kehadapan bakal suamiku yang mungkin sudah ku temui

Syukur kepada Allah, gusar dan gemuruh saya berkurang sedikit demi sedikit saban hari. Saya selalu berdoa kepada Allah agar dipelihara hati saya ini agar tidak saya berikan kepada sesiapa selain anda yang masih belum saya ketemu. Allah… Berzikir saya tiap masa. Mungkin sudah menjadi lumrah, setiap ciptaan Allah itu indah-indah dan dijadikannya berpasang-pasangan. Setelah beberapa bulan berada di sekolah berasrama itu, saya fikir saya mungkin sudah ketemu anda. SubhanAllah, berdasarkan interpretasi saya, Aiman merupakan pelajar contoh dan semua guru menyukai dan menyayangi Aiman. Saya turut sama terkadang. Saya hanya mampu doa. Saya sudah bertekad dengan seluruh jiwa raga untuk memelihara hati dan diri ini kecuali untuk anda, suamiku yang sah. Persoalannya, adakah Aiman dan anda orang yang serupa?

Seperti yang saya nyatakan, saya mungkin sudah menemui anda tetapi saya masih lagi tidak pasti adakah anda yang bakal menjadi imam seusai saya bergelar isteri  anda kelak. Solat istiqarah yang sentiasa saya lakukan waktu itu lebih berkenaan dengan anda. Saya tahu yang fokus saya waktu itu ialah belajar, tetapi saya seorang yang suka merancang. Pada saya, kalau seseorang itu gagal merancang, maka sudah pasti dia merancang untuk gagal. Hari berlalu pergi. Terasa pantas. Saya tidak lagi mempunyai rasa yang akhbar terhadap anda. Mungkin Aiman bukanlah anda yang saya cari!

Kehadapan bakal suamiku yang tidak ku temui

Alhamdulillah, saya baharu sahaja selesai menyiapkan kertas peperiksaan terakhir untuk SPM tahun ini. Lega yang tidak dapat saya ungkap dengan bicara kata meresap jauh ke dalam sukma saya. Saya akui, saya bukanlah pelajar yang sangat pintar. Saya paling lemah subjek Matematik Tambahan. Ingat lagi saya pada pagi peperiksaan Matematik Tambahan, mata saya bengkak teruk kerana saya menangis teresak-esak seorang diri di dalam tandas asrama malam sebelumnya. Tapi, segalanya sudah belalu. Saya yakin dan percaya yang saya sudah cuba sehabis baik. Saya fikir saya akan dapat keputusan setimpal dan bertepatan dengan usaha saya, insya Allah. Sudah menjadi lumrah di sekolah berasrama saya, keputusan SPM saban tahun amat memberangsangkan.

Waktu cuti selepas SPM waktu itu saya manfaatkan dengan bekerja. Saya tahu yang keluarga saya tidak mampu untuk menyediakan wang yang secukupnya untuk saya mendaftar diri ke IPT kelak. Bapa saya pesara. Mak saya suri rumah sepenuh masa. Saya tahu saya mampu. Tidak tega rasanya untuk menyusahkan mereka. Alhamdulillah, saya dapat berkerja di tempat yang paling saya gemar kunjungi sejak di bangku sekolah tadika lagi iaitu kedai buku. Seingat saya, waktu itu tidak kurang seminggu selepas hari terakhir peperiksaan SPM saya, saya sudah pergi ke kedai buku yang terletak tidak jauh dari rumah saya itu dan bertanya andai masih terdapat kerja kosong yang boleh saya isi.

Syukur kepada Allah, saya diambil bekerja. Mungkin kerana perwatakkan saya yang peramah dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, pengurus kedai buku itu tertarik dan percaya saya mampu membawa perubahan dalam memaslahatkan kedainya. Untuk pengetahuan anda, disinilah segalanya menampakkan rupa dan bentuk. Saya memang minat membaca sejak kecil dan menulis memang menjadi hobi saya. Tidak sangka rezeki saya untuk bekerja di seni menjadi lebih indah kerana terasa bagai sirih pulang ke ganggang.  Pengalaman saya bekerja saya manfaatkan dan hargai sehingga sekarang.

Kehadapan bakal suamiku yang masih ku cari.

Saya sudahpun mula mengumpul wang untuk mendaftarkan diri ke universiti. Wang gaji yang saya kumpul hampir lima ribu itu saya bakal gunakan bukan sahaja untuk pendaftaran tetapi saya akan guna untuk berkahwin. Ya! Benar apa yang anda dengar. Saya sudah mula menabung untuk kesejahteraan kita. Saya serius bekenaan hal ini. Saya tidak mahu susahkan ibu dan ayah saya. Saya sudah nyatakan hasrat saya untuk berumah tangga sewaktu belajar. Saya sudah mula memikirkan isu-isu berbangkit yang bakal menjadi cabaran untuk kita kelak.

Saya rasa pelik dan hairan. Mengapa masyarakat memandang pelik kepada mereka yang ingin berkahwin awal? Sepatutnya anak-anak muda yang ingin berkahwin awal perlu digalakkan dan diberi sokongan. Bukankah keredhaan Allah yang kita damba? Anak-anak yang berani menyatakan hasrat untuk bernikah kepada ibu bapa saya fikir anak-anak yang mempunyai visi dan misi yang jelas di dalam hidupnya. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang membawa keburukkan andai bertepatan dan mengikut ajaran Islam yang sebenar. Mungkin apa yang saya nyatakan ini adalan luahan rasa semata-mata tetapi saya harap apabila suami saya membaca cerpen ini kelak, dia akan lebih menyayangi dan menghargai saya. Itu namanya strategi unggul! Moga berkesan InsyaAllah.

Kehadapan bakal suamiku yang masih belum bersua.

Selepas bulan yang ke-6 cuti saya, akhirnya saya mendapat tempat di universiti tempatan sebagai seorang pelajar penulisan kreatif. Saya tahu keputusan SPM saya yang hanya 50 peratus cemerlang itu tidak mampu untuk saya belajar kursus yang saya inginkan iaitu Pergigian. Saya ingin benar menjadi seorang doktor gigi. Saya akan berasa senang melihat individu yang mempunyai barisan gigi yang teratur indah. SubhanAllah! Hebatnya ciptaan Allah. Tapi, bukan rezeki saya untuk menuntut ilmu itu. Saya yakin dengan ketentuan Allah. Apa sahaja yang Allah berikan, itu anugerah namanya. Kenapa mahu siakan?

Saya, mak dan ayah datang ke UiTM Shah Alam, Kampus Puncak Perdana untuk mendaftarkan saya. Ayah saya tidak memiliki kereta. Kami hanya menunggang motosikal ke mana sahaja. Kami tiga beranak menaiki bas Transnasional dari Pulau Pinang hingga ke Shah Alam. Saya tahu mak dan ayah sudah cuba beri yang terbaik kepada saya. Walau dengan berbekal wang kurang RM 200 di kocek ayah, saya awal-awal lagi sudah bilang yang saya punyai duit simpanan. Tidak perlulah mereka risau.

Salah satu sebab yang saya ingin cepat-cepat ketemu dengan anda ialah saya rasa saya perlukan kehadiran anda. Anda pasti mampu menjadi penjaga saya. Tidak saya ingin wang dan tidak menjadi niat saya untuk menyusahkan anda  tetapi saya yakin mak dan ayah pasti lebih bahagia dengan hakikat yang anak mereka tidak berseorangan di sana. Saya sudahpun meyakinkan mak dan ayah yang saya mampu menjaga diri.

Kehadapan bakal suamiku yang mungkin sudah ku temui.

Saya ingat lagi waktu itu. Saya sudah berada di semester tiga. Alhamdulillah, sebagai penulis kreatif, saya banyak menghasilkan puisi-puisi dan cerpen yang selari dengan minat saya iaitu karya yang berbaur Islami dan memanggil manusia kearah kebaikan. Saya baharu sahaja berjaya terbitkan satu cerpen dan saya hasilkan buku himpunan puisi-puisi saya yang saya cetak serta jual sendiri. Walau hanya biasa-biasa tapi saya rasa puas kerana saya yang dahulunya bertungkus-lumus belajar Matematik Tambahan dan segala yang sewaktu dengannya kita tidak lagi saya lakukan. Secara tidak langsung, apa yang saya belajar kini bukanlah termaktub di bawah konotasi ‘belajar’ tetapi lebih kepada melakukan apa yang saya cinta dan saya suka.

Anda adalah orang yang pertama membeli buku himpuan puisi saya itu. Saya hargai dan terharu. Saya tidak fikir yang orang macam anda hargai puisi-puisi muda saya. Saya tidaklah mampu untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada anda. Dua minggu selepas itu, kita bersua sewaktu saya dan anda ingin ke kelas. Walau kita berbeza kursus tetapi kita di bawah fakulti yang sama. Anda yang pada waktu itu berbaju kemeja kelabu dan berseluar hitam pekat menyapa saya. Anda ucapkan terima kasih kerana anda rasa puisi saya amat mengesankan anda. Saya juga perasan yang anda tampak berbeza. Lebih kemas dan lebih berwibawa. Anda kemudian bertanya andai saya ada waktu senggang atau tidak lewat petang ini kerana anda ingin berbual mengenai satu hal yang serius.

Saya menjawab yang saya tidak ada kelas dan anda terus menyekat bicara saya dengan menyatakan yang anda ingin belanja saya makan. Anda juga ingatkan yang anda akan membawa kawan karib anda bersama serta anda pohon agar saya juga tidak datang berseorangan. Saya terpaku terkelu diam membisu. Saya angguk sahaja dengan harapan saya mampu dapatkan rakan karib saya, Khadijah untuk menemani.

Kehadapan bakal suami  yang proaktif lagaknya.

Saya dan Khadijah menunggu di café kampus kita. Anda datang bersama rakan karib anda, Aidil. Itulah pertama kali saya bersua dan duduk makan bersama semeja dengan anda. Saya tahu yang anda pasti dapat membaca raut wajah saya yang jelas tampak tidak selesa. Waktu itu, saya mungkin sudah mula mempunyai percikan aura cinta di dalam hati saya yang telah Allah jentik. Saya doa dan doa tanpa henti agar Allah tidak murka dengan saya. Saya hanya ingin mencari redha-Nya. Amiin.

Anda mula berbicara. Anda nyatakan yang anda sudah baca puisi-puisi saya. Anda juga dapat baca apa yang saya ingin sampaikan secara halus melalui mesej-mesej puisi saya. Saya kagum! Anda kemudian menyatakan yang anda juga berniat untuk berkahwin awal. SubhanAllah, selari dengan apa yang saya inginkan. Anda juga menyatakan yang anda ingin memulakan kehidupan berkeluarga sewaktu masih belajar. Anda kemudian ceritakan apa yang telah anda usahakan dan anda juga mempunyai wang simpanan yang anda fikir cukup untuk melangsungkan majlis walimah yang ringkas. Masih! Masih seperti yang saya inginkan.

Waktu itu saya ingin sekali melekapkan dahi saya ke tanah untuk melakukan sujud syukur tetapi saya pendam dahulu hingga saya pulang ke bilik saya selepas itu. Anda meminta alamat dan nombor telefon ayah dan ibu saya. Saya tidak mampu menyembunyikan wajah saya yang sudah merah padam waktu itu. Saya harap sangat apa yang anda bakal lakukan dipermudahkan dan Allah redha. Anda menyatakan yang anda terkesan dengan satu puisi saya bertajuk “Impian Kecilku”. Anda nyatakan yang sudah lama anda mencari calon isteri yang tidak mengimpikan perkahwinan yang mewah dan terlalu mengikut budaya. Anda bilang, rata-rata semuanya mahukan pelamin ala Cindarella dan baju pengantin tidak kurang lima persalinan.

Anda dan sahabat anda kemudian berlalu pergi. Sebelum itu, anda mengeluarkan senaskah buku dan hadiahkan kepada saya. Saya tenung dalam-dalam buku itu. Muka depannya cantik. Tajuknya “ Kumpul Duit sejak Jatuh Cinta” terbitan salah satu syarikat penerbitan tempatan. SubhanAllah, saya ingin benar menadapatkan buku itu sewaktu pertama kali bersua dengannya di kedai buku, tetapi saya tidak mampu. Saya dan Khadijah saling berdakapan dan tertitis air mata bahagia di kelopak mata saya. Saya kemudian menuju ke surau untuk menunaikan solat asar dan saya iringi dengan sujud syukur serta solat istiqarah. Saya dan Khadijah kemudian berjalan beriringan pulang ke bilik. Saya perasan yang saya tidak henti senyum sejak waktu itu. SubhanAllah, apa yang sudah berlaku ini? Adakah Allah telah jawab doa saya yang saya tembak tanpa henti sejak tiga tahun dahulu.

Kehadapan bakal suamiku yang sudah ku temui.

Malam itu, selepas anda menyatakan hasrat anda terhadap saya, ayah menghubungi saya. Ayah kata ada seorang jejaka menghubunginya menyatakan perihal ingin berkawan dan berkenalan dengan saya. Ayah pada mulanya agak terkejut kerana ayah tidak sangka yang anda akan jadi begitu berani dan proaktif dalam menghubunginya. Ayah juga bilang yang anda bercakap dengannya hampir dua Jam. Ayah juga nyatakan yang ayah suka dengan perangai anda yang mudah ramah dan pandai mengambil hati serta ayah katakan anda merancang untuk datang ke rumah dua minggu lagi bersama-sama ayah dan ibu anda. Waktu itu jantung saya bergetar hebat. Saya tidak fikir yang segalanya akan menjadi sebegiti pantas. Alhamdulillah, Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

Saya mula membaca buku yang anda beri waktu itu. Buku itu sangat berinformatif dan menarik. Sangat bertepatan dengan apa yang saya dan anda perlukan. Saya selak helaian itu satu per satu. Saya perhatikan, anda lipat sudut atas hujung setiap muka surat yang anda fikir penting. Saya kagum dengan usaha anda membaca buku seperti ini. Selalunya, jejaka seusia anda tidak gemar memikirkan hal ini. Kata mereka “masih muda remaja, kenapa mahu kahwin, bersuka-rialah dahulu”. Tapi, saya dan anda masing-masing tahu yang andai sepasang anak Adam itu berkahwin, mereka lebih mampu bersuka-ria bersama mereka serta mampu juga mendapat ganjaran pahala yang akhbar daripada Allah.

Kehadapan bakal suamiku yang kini bergelar tunangku.

Dua minggu kemudian anda hadir bersama ibu dan ayah anda ke rumah saya. Rumah saya tidak begitu besar. Cuma sebuah rumah pangsa di tengah-tengah bandaraya Georgetown. Saya waktu itu masih di kampus kerana perlu menghadiri bengkel penulisan yang telah saya bayar yurannya. Saya ingat ayah ceritakan perihal anda kepada saya lewat malam itu saat ayah menelefon saya. Ayah bilang anda kacak berbaju melayu hijau. Ibu dan ayah anda juga mengenakan pakaian sedondon warnanya. Romantik! Itu yang ayah saya bilang saat bertemu ibu dan ayah anda. Ayah juga sedia maklum yang keluarga anda mementingkan akhlak Islam lebih daripada budaya melayu yang entah apa-apa kadang-kadang.

Ayah bilang yang anda dan ayah anda berbual rancak dengan ayah saya. Waktu itu ibu anda juga berbual dengan mak saya. Semuanya serasi, semuanya indah! Ayah anda menyatakan yang dia percaya penuh dengan pilihan anda dan yakin dengan apa sahaja yang anda suka. Ayah anda tidak mahu mengongkong dan yakin dengan ketentuan Allah. Sungguh, Allah yang maha meletakkan cinta di dalam hati hamba-Nya. Ayah juga bilang yang memandangkan anda sudah mempunyai yang simpanan dan saya juga setuju untuk berkongsi kos, ayah telah mencadangkan cuti semester lima iaitu sebaik sahaja saya dan anda selesai kuliah untuk diploma. Anda dan keluarga anda setuju.

Kehadapan suamiku yang sah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menyatukan kita berdua. Saya rasa bahagia kerana dapat melakukan walimah yang ringkas dan tidak membazir. Cadangan anda untuk menjemput anak-anak yatim dan fakir-fakir miskin turut serta dalam majlis kita amat saya kagumi. Majlis kita yang diadakan di kampus tempoh hari walaupun tidak se’gah’ majlis-majlis kahwin lain tetapi saya tahu kita sudah cuba sedaya upaya untuk mengejar redha Allah. Sekarang kita sudah sah bergelar suami dan isteri. Walaupun ada antara sebahagian ahli keluarga saya dan anda berasa mushkil dengan kecepatan kita melangsungkan perkahwinan, usahlah gusar wahai cintaku. Sungguh, hanya Allah sahaja yang perlu kita takuti. Bukan pandangan mereka yang kita damba. Bukankah perkahwinan ini suatu yang baik dan membuka pintu rezeki dan barakah kepada kita. Amiin.

Saya harap anda baca cerpen ini setelah cerpen ini berjaya terbit di majalah kegemaran saya dan anda agar kita sama-sama boleh senyum dan merakamkan memori indah kita bukan sahaja untuk diri kita tetapi mereka-mereka di luar sana yang juga menghadapi masalah yang sama. Usahlah gundah, kita tidak berseorangan, Allah sentiasa ada. Yakin!

Yang mencintaimu,

Isterimu…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s